Sunday, 20 September 2020

KISAH ADIDAS DAN SPETSNAZ


Moscow telah dipilih untuk menjadi tuan rumah sukan Olimpik tahun 1980. Sebagai tindakan protes terhadap serangan Soviet Union di Afghanistan pada tahun 1979, banyak negara telah memboikot dari menyertai temasya kali ini, termasuk Malaysia.
Tindakan boikot ini bukan saja merencatkan kemeriahan temasya Olimpik tersebut, malah menjejaskan pendapatan banyak penaja utama yang bergantung kepada kontrak dari penganjur dan negara-negara yang terlibat.
Adidas turut terkesan dari tindakan boikot ini kerana Jerman Barat juga antara negara-negara yang bersetuju memboikot sukan Olimpik 1980. Di pihak Soviet Union pula, kontinjen atlit mereka perlu dilengkapkan dengan pakaian sukan berkualiti setanding seperti yang dipakai oleh atlit-atlit dari Barat. Imej kontinjen Soviet Union perlu dijaga kerana mereka adalah tuan rumah yang menjadi perhatian seluruh dunia.
Akhirnya pihak Adidas dan kerajaan Soviet Union bersetuju memeterai kontrak membekal pakaian untuk atlit Soviet Union semasa temasya Olimpik 1980. Namun kontrak ini diletakkan beberapa syarat tertentu demi menjaga kepentingan dan reputasi kedua-dua pihak yang terlibat.
Antara syarat-syarat tersebut adalah pihak Adidas perlu mengilangkan barangan mereka di Soviet Union, serta mengubah dan memadamkan beberapa corak tanda dagangan supaya imej Adidas tidak menonjol. Oleh yang demikian secara teknikal, pihak Adidas masih dapat menjana pendapatan dari sukan Olimpik walaupun tidak dapat membekal secara terus. Di pihak Soviet Union pula, mereka dapat mengelakkan perasaan malu menggunakan jenama pakaian dari negara kapitalis Barat, kerana logo dan tanda dagangan telah diubah.
Setelah berakhir sukan Olimpik 1980, pihak Soviet Union tidak mengotakan janji mereka untuk menutup operasi kilang pakaian sukan yang membekalkan pakaian Adidas tersebut. Pakaian sukan rekaan Adidas masih dikeluarkan, tetapi diberikan jenama baru dengan perubahan kualiti dan rekaan yang minima untuk pasaran tempatan. Antara barangan Adidas tersebut termasuk kasut sukan yang dijenamakan sebagai "Mockba" ('Moscow').
Walaupun Olimpik 1980 telah lama berakhir, operasi tentera Soviet Union di Afghanistan masih terus berjalan akibat penentangan secara gerila oleh puak yang dikenali sebagai Mujahidin. Oleh kerana pihak Mujahidin mengamalkan taktik perang gerila dan beroperasi di kawasan-kawasan dengan mukabumi yang mencabar, pihak Soviet Union terpaksa mengerah unit tentera elit mereka seperti Spetsnaz.
Cabaran bentuk mukabumi Afghanistan yang bergunung ganang menyebabkan operator Spetsnaz merasakan kasut but yang dibekalkan tidak sesuai dengan cabaran operasi.
Kelonggaran kemudian diberi dari pemerintah di Moscow kepada ketua-ketua unit Spetsnatz di Afghanistan untuk memilih dan memakai kasut yang dirasakan sesuai dengan kehendak operasi. Antara kasut yang menjadi pilihan mereka adalah kasut sukan jenama 'Mockba' kerana kos yang murah, mudah didapati, selesa, serta memberi cengkaman yang baik di permukaan gunung-ganang yang berbatu.
Sifat kerahsiaan operasi dan demi menjaga imej pasukan, tidak banyak gambar-gambar anggota Spetsnaz di Afgahisntan dirakam sewaktu memakai kasut sukan ini. Walau bagaimanapun imej anggota Spetsnaz memakai kasut sukan "Mockba" yang ditiru dari kasut Adidas, kekal menjadi imej ikonik Spetstaz hingga ke hari ini.
-terjemahan dan suntingan oleh Khairul Helmi Hashim-





+3

No comments:

Post a Comment